13.8.08

Guan Eng dedah satu lagi 'penyelewengan' tanah=MALAYSIAKINI

BUKIT MERTAJAM: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hari ini membuat pendedahan terbaru mengenai satu lagi masalah berkaitan tanah yang dianggapnya sebagai 'salah pengurusan' oleh kerajaan negeri sebelum ini.

Sambil menyifatkan perkara itu tidak sepatutnya berlaku, beliau mahu kes kesilapan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) membayar wang hampir RM500,000 berhubung pembelian sebidang tanah oleh sebuah syarikat dikaji semula untuk mengetahui apa yang sebenarnya berlaku.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan bilik operasi pilihan raya kecil Permatang Pauh di Taman Arowana, di sini, Lim berkata beliau sudah mengarahkan jawatankuasa siasatan dalaman untuk menyiasat semula kes berkenaan yang berlaku kira-kira 10 tahun laluBeliau mendakwa tanah itu dijual oleh PDC kepada syarikat milik seorang “orang kuat” Barisan Nasional (BN) dan deposit sebanyak 20 peratus melalui pinjaman bank telah dibayar kepada perbadanan itu sebagai pendahuluan.

Bagaimanapun, katanya kerana kegagalan syarikat itu melunaskan keseluruhan harga tanah berkenaan, deposit itu dirampas tetapi atas dasar bermurah hati, kerajaan negeri yang lalu memulangkan semula 10 peratus daripada jumlah wang pendahuluan itu kepada syarikat berkenaan. Lim berkata, kerajaan negeri ketika itu mahu mengambil semula tanah industri di Bayan Lepas itu tetapi tidak boleh dilakukan kerana pihak bank tidak mahu melepaskan tanah berkenaan.

“Bagi membolehkan tanah itu dikembalikan, kerajaan negeri terpaksa membayar 10 peratus yang dianggap sebagai keuntungan daripada wang pendahuluan yang dirampas, kepada institusi kewangan itu. “Apabila kerajaan negeri hendak menuntut semula wang yang tersalah bayar kepada syarikat berkenaan, syarikat itu sudah gulung tikar,” katanya.

Lim berkata, perkara begini memberi masalah kepada kerajaan negeri yang baru kerana setakat ini ia tidak mengetahui kedudukan sebenar kewangan Pulau Pinang. - Bernama /Berita harian

No comments: