Sambutan Wira Reformasi
Date: 23 Aug 1999Time: 05:09:59
SAMBUTAN BESAR-BESARAN DIRANCANG UNTUK LIM GUAN ENG
KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) --
Para pemimpin DAP, PAS, Parti Keadilan Nasional, Parti Rakyat Malaysia (PRM), Parti Sosialis Malaysia (PSM) serta anggota dan penyokong parti masing-masing kini membuat persiapan bagi menyambut bekas Anggota Parlimen Kota Melaka Lim Guan Eng yang akan dibebaskan dari Penjara Kajang pada pagi Rabu.
Setiausaha jawatankuasa "keadilan untuk semua" Ronnie Liu hari ini berkata bekas anggota parlimen itu yang kini menjalani hukuman penjara 18 bulan, akan dibebaskan pada pukul 9 pagi dan mengajak rakyat Malaysia berkumpul di luar penjara untuk menyambutnya.
Guan Eng, anggota parlimen bagi tempoh tiga penggal, menjalani hukuman itu sejak 26 Ogos tahun lepas apabila rayuan terhadap sabitannya mengikut Akta Hasutan dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 ditolak oleh mahkamah.
Liu yang juga penolong setiausaha publisiti nasional DAP berkata Guan Eng juga akan mengadakan persidangan media di ibu pejabat DAP pada tengah hari dan kemudian akan berlepas ke Melaka untuk menghadiri sambutan di sana.
DAP Melaka dan parti-parti pembangkang lain juga akan mengadakan perhimpunan bersama rakyat di Kampong Padang Melaka pada malam yang sama.
Para penceramah terdiri daripada Guan Eng, setiausaha agung DAP Lim Kit Siang, presiden Keadilan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Pemuda PAS Mahfuz Omar dan presiden PRM Dr Syed Hussein Ali. -- BERNAMA
No comments:
Post a Comment