21.7.08

Muzakarah Umno-PAS tidak jejaskan Pakatan Rakyat- Lim Guan Eng

PULAU PINANG:

Muzakarah antara Umno dan PAS tidak akan menjejaskan hubungan dan perpaduan partiparti yang bernaung di bawah Pakatan Rakyat, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
Beliau berkata tiada sebab untuk DAP atau Pakatan Rakyat merasa bimbang atau terjejas dengan perbincangan antara PAS dan Umno itu.

Katanya Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang juga Presiden Umno, boleh dan berhak untuk berjumpa atau mengadakan perbincangan dengan sesiapa sahaja dan ia bukan perkara yang luar biasa.

Ketika bercakap kepada pemberita selepas perasmian persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang oleh Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas di sini, Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, berkata beliau sendiri pernah menemui Perdana Menteri untuk mengadakan perbincangan.

Katanya Pakatan Rakyat tidak berminat kepada perkara yang hanya menyentuh satu kaum sahaja tetapi mahu memperjuangkan perpaduan keseluruhan rakyat Malaysia.

Sebagai contoh, katanya, jika Pakatan Rakyat mengadakan perbincangan dengan MCA atau Gerakan, ia tidak akan tertumpu kepada isu masyarakat Cina sahaja tetapi lebih kepada isu bangsa Malaysia.

Mengenai cadangan kerajaan negeri untuk memberi pengiktarafan termasuk elaun khas kepada Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Lim berkata beliau telah meminta Penasihat Undang-undang untuk menguruskan sebarang pindaan undang-undang yang diperlukan dan ia dijangka siap menjelang persidangan DUN akan datang.

"Kita rasa wajar Ketua Pembangkang diberi pengiktarafan sesuai dengan kedudukannya itu," katanya.

mstar- BERNAMA

No comments: