Showing posts with label RM SERATUS RIBU. Show all posts
Showing posts with label RM SERATUS RIBU. Show all posts

13.8.08

Guan Eng dedah satu lagi 'penyelewengan' tanah=MALAYSIAKINI

BUKIT MERTAJAM: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hari ini membuat pendedahan terbaru mengenai satu lagi masalah berkaitan tanah yang dianggapnya sebagai 'salah pengurusan' oleh kerajaan negeri sebelum ini.

Sambil menyifatkan perkara itu tidak sepatutnya berlaku, beliau mahu kes kesilapan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) membayar wang hampir RM500,000 berhubung pembelian sebidang tanah oleh sebuah syarikat dikaji semula untuk mengetahui apa yang sebenarnya berlaku.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan bilik operasi pilihan raya kecil Permatang Pauh di Taman Arowana, di sini, Lim berkata beliau sudah mengarahkan jawatankuasa siasatan dalaman untuk menyiasat semula kes berkenaan yang berlaku kira-kira 10 tahun laluBeliau mendakwa tanah itu dijual oleh PDC kepada syarikat milik seorang “orang kuat” Barisan Nasional (BN) dan deposit sebanyak 20 peratus melalui pinjaman bank telah dibayar kepada perbadanan itu sebagai pendahuluan.

Bagaimanapun, katanya kerana kegagalan syarikat itu melunaskan keseluruhan harga tanah berkenaan, deposit itu dirampas tetapi atas dasar bermurah hati, kerajaan negeri yang lalu memulangkan semula 10 peratus daripada jumlah wang pendahuluan itu kepada syarikat berkenaan. Lim berkata, kerajaan negeri ketika itu mahu mengambil semula tanah industri di Bayan Lepas itu tetapi tidak boleh dilakukan kerana pihak bank tidak mahu melepaskan tanah berkenaan.

“Bagi membolehkan tanah itu dikembalikan, kerajaan negeri terpaksa membayar 10 peratus yang dianggap sebagai keuntungan daripada wang pendahuluan yang dirampas, kepada institusi kewangan itu. “Apabila kerajaan negeri hendak menuntut semula wang yang tersalah bayar kepada syarikat berkenaan, syarikat itu sudah gulung tikar,” katanya.

Lim berkata, perkara begini memberi masalah kepada kerajaan negeri yang baru kerana setakat ini ia tidak mengetahui kedudukan sebenar kewangan Pulau Pinang. - Bernama /Berita harian

10.6.08

Chief Minister Refuses To Spend

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Hrkh) - Kerana enggan membelanjakan RM100 ribu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng lebih rela tinggal di sebuah rumah berusia milik bapanya.
Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu menceritakan perkara itu selepas bertemu dengan Setiausaha Agung DAP itu di Pulau Pinang baru-baru ini.
Beliau ke pulau itu baru-baru ini kerana hendak bertemu Lim untuk berbincang beberapa perkara mengenai kepentingan bersama kedua-dua pihak.
“Oleh kerana beliau sibuk, beliau meminta saya menemuinya kira-kira pukul 10.00 malam hari itu.
“Tahu di mana Guan Eng nak jumpa saya? Di restoran McDonald,” kata Mohamad Sabu yang mula mengenali Lim dengan lebih dekat ketika sama-sama di tahan dalam Operasi Lallang 1987 lalu.
Naib Presiden PAS itu juga lebih selesa bertemu di tempat terbuka kerana “tidak ada apa yang hendak dirahsiakan”.
Bagaimanapun, katanya, Ketua Menteri Pulau Pinang itu kemudiannya memberitahu pertemuan itu tidak dapat diadakan di tempat terbuka itu atas nasihat pihak keselamatan.
Memahami perkara tersebut, beliau terus menuju ke rumah di mana Lim tinggal.
“Di rumah, dia biasa sahaja dengan “seluaq katok” (seluar pendek). Bila saya tengok keadaan rumah yang berusia tempat dia tinggal, saya tanya dia, kenapa tak pindah ke rumah rasmi Ketua Menteri?
“Dia (Lim) jawab: ‘Susahlah, kalau nak pindah kena perbaiki. Terpaksa belanja sampai RM100 ribu. Takkan saya nak belanja duit rakyat sampai RM100 ribu untuk kepentingan saya’
“Saya rasa sangat terharu mempunyai kawan seperti itu,” kata Mohamad Sabu.
Walaupun perkara itu bukanlah perkara baru baginya, memandangkan Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menjadi Menteri Besar Kelantan sejak 1990 memilih kehidupan yang sederhana, begitu juga Presiden PAS Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika menjadi Menteri Besar Terengganu dahulu, Naib Presiden PAS itu tetap merasa bangga dengan sikap sederhana dan rendah diri Lim itu.
“Saya bangga kerana dia takut nak belanja wang rakyat RM100 ribu sedangkan Perdana Menteri gasak sehingga RM15.81 juta untuk ubahsuai kediaman rasminya Seri Perdana di Putrajaya.
“Saya yakin, Menteri-Menteri Besar kita yang lain (dari PAS dan KeADILan) juag akan memilih jalan kehidupan yang sederhana yang sama seperti dua Tok Guru kita, jauh lagilah menyalahgunakan harta kerajaan,” katanya.
Sementara itu, Bernama melaporkan, kata-kata pertama Lim semasa mengadakan sidang media di Pejabat Ketua Menteri di Tingkat 28 Komtar ialah: “Saya rasa seperti melangkah masuk ke kandang singa”.
“Saya tidak menyangka dapat duduk di kerusi ketua menteri ini kerana pernah dipenjarakan. Ia merupakan transformasi sebenarnya dan pengalaman baru bagi saya,” Bernama memetik Lim.
Sebelum mengangkat sumpah, Lim berkata beliau dapati lebih ramai pemberita menghadiri sidang akhbarnya sekarang dan “saya diterangi lampu-lampu kamera”.
Dalam kenyataan kemenangannya, Lim berkata, “Kami gembira dengan kemenangan ini dan berjanji tidak akan mengecewakan penduduk Pulau Pinang.
“Kami mahu menegaskan bahawa kerajaan baru adalah untuk rakyat Malaysia daripada semua kaum. Kami ada bersikap adil, saksama dan tidak mendiskriminasikan mana-mana kumpulan - memberi bantuan kepada semua yang memerlukan.
“Penduduk Pulau Pinang yang berbakat akan mendapat peluang saksama daripada gabungan parti pembangkang itu yang disatukan menerusi kecintaan terhadap demokrasi dan menghormati hak asasi manusia, kekaksamaan politik dan keadilan sosioekonomi,” katanya sambil mengesa orang ramai supaya “menghormati hasrat rakyat”.