15.2.09

Kabinet Bayangan -malaysiakini

[DIKEMAS KINI] PETALING JAYA: Usaha membentuk 'Kabinet Bayangan' dijangka menjadi antara fokus perbincangan bengkel khas Pakatan Rakyat di sini hari ini - ketika hampir genap setahun pilihan raya umum ke-12 berlangsung dan ikatan pembangkang itu dibentuk.

Bengkel itu bermula pukul 9 pagi tadi.

Difahamkan pertemuan tersebut yang pertama seumpama itu tahun ini, merupakan susulan sesi retreat yang diadakan dua kali tahun lalu.

Pakatan Rakyat, yang dianggotai PKR, DAP dan PAS, dibentuk selepas pilihan raya umum ke-12 Mac lalu.

mStar Online difahamkan pertemuan sehari itu akan membincangkan aspek-aspek berkaitan dengan pembahagian portfolio 'Kabinet Bayangan' Pakatan Rakyat, dalam usaha untuk menjadi lebih serius menghadapi politik tanah air semasa.

"Sebelum ini sudah ada perbincangan mengenai keperluan dibentuk Kabinet Bayangan, tetapi pertemuan esok akan membincangkan usaha pembahagian portfolio supaya strukturnya lebih kemas dan mantap kelak.

"Bagaimanapun yang pasti perbincangan ke arah pembentukannya tidak akan muktamad esok... apa yang lebih penting ialah usaha lebih serius ke arah itu akan disentuh secara mendalam esok," kata seorang pemimpin Pakatan Rakyat yang mahukan ia berfungsi dengan lebih serius mulai sekarang.

Pertemuan esok tidak akan dihadiri Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini berada di luar negara.

Kesemua presiden parti komponen dijadualkan hadir.

Anwar dijangka mempengerusikan mesyuarat pramajlis Ahli Parlimen Pakatan Rakyat tengah hari Isnin ini.

Pakatan Rakyat mengadakan pertemuan itu kira-kira dua minggu selepas salah sebuah negeri dikuasainya dalam pilihan raya umum lalu jatuh ke tangan Barisan Nasional (BN).

Perak kini diterajui oleh BN.

Bulan lalu Pakatan Rakyat membentuk Majlis Menteri Besar dan Ketua Menteri iaitu dua hari selepas berakhirnya pilihan raya kecil Kuala Terengganu.

Dalam pada itu, seorang lagi pemimpin kanan anggota Pakatan Rakyat juga membayangkan kemungkinan pihaknya akan membincangkan usaha membawa usul kepercayaan ke atas kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Abdullah dijadual akan melepaskan jawatannya hujung bulan depan iaitu selepas berakhirnya Perhimpunan Agung Tahunan Umno.

Ketika bercakap selepas kemenangan calon PAS dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu bulan lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Pakatan Rakyat mahu Abdullah kekal sebagai Perdana Menteri untuk meneruskan agenda pembaharuan negara.

Kata Hadi, Pakatan Rakyat akan memberikan sokongan kepada Abdullah.

Justeru, kata pemimpin itu, Pakatan Rakyat akan membincangkan kemungkinan membawa usul sedemikian apabila Parlimen mula bersidang minggu depan.

Mesyuarat penggal kedua Parlimen Ke-12 akan bermula Isnin ini dengan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Jika tidak dibincangkan esok, soal itu dijangka disentuh oleh Anwar yang juga Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat Isnin ini.

Ketua Angkatan Muda PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin pula memberitahu mStar Online, pertemuan esok akan membincangkan senario politik semasa dengan memfokus ke atas persekitaran di Perak, selain dua pilihan raya kecil yang akan diadakan April ini.

"Saya difahamkan bengkel esok akan membincangkan perkembangan politik Perak dan pilihan raya kecil (Bukit Gantang dan Bukit Selambau)... mungkin perkara lain disentuh, saya tidak pasti," kata beliau yang mengesahkan akan menghadiri pertemuan esok.
Oleh G. MANIMARAN-MSTAR

2 comments:

Syamsyul Mansor said...

Saya brharap DAP juga dapat turut serta turun berhimpun di HIMPUNAN 100 RIBU MANSUHKAN PPSMI.

Kami orang-orang Melayu juga perlukan sokongan dari rakan-rakan bangsa lain. SEBAGAI MENUNJUKKAN RASA KEBERSAMAAN KITA SEBAGAI RAKYAT MALAYSIA!!!

Electrotech said...

Hidup Rakyat!!!